Search For More Fishing Tips
Google

Monday, March 05, 2007

Lokasi Memancing

Tinjau, kaji lokasi sebelum memancing

BANYAK tindakan pemancing di Malaysia berbeza dengan rakan mereka di Barat. Pemancing di negara itu banyak melakukan kajian dan persiapan sebelum pergi memancing di lokasi.

Adalah bijak jika tidak terus pergi memancing di lokasi baru tanpa mengkaji latar belakang lubuk itu.

Sebaliknya, adalah bijak jika anda melakukan tinjauan terlebih dulu dengan membawa beberapa kelengkapan untuk melakukan pemerhatian terhadap tabiat ikan, kedudukan lubuk dan meninjau persekitaran.

Ringkasnya, semakin anda tahu air di situ, semakin banyak rahsia akan terungkap daripada di dalamnya.

Pemancing di Barat akan membuat tinjauan terperinci sebelum sesi memancing dilakukan. Mereka akan membawa kertas untuk melakarkan di mana air yang dalam dan cetek, kedudukan rumpai dan ranting serta kedudukan cahaya matahari.

Contohnya, kedudukan kiambang dan teratai perlu anda tahu kerana di situ adalah tempat kegemaran spesies kap.

Jika anda melihat pulau kecil dan rimbunan rumput di tengah tasik maka itu petanda di situ menjadi tempat ikan berkumpul.

Adalah menjadi tabiat ikan berlindung dan bernaung di rimbunan rumpai khususnya untuk keselamatan dan ketika panas terik.

Keupayaan umpan anda menjangkau ke lubuk itu menjamin tangkapan lumayan.

Ketika melakukan tinjauan dan pemerhatian, anda memerlukan:

1 Topi –Tudung kepada yang lebar akan melindungi kepala dan mata anda daripada panahan cahaya matahari yang terik serta menyilaukan.

2 Teropong – Alat ini akan membolehkan anda mengesan tanda-tanda kilasan serta gerombolan ikan.

3 Kasut – Pakai kasut yang ringan, selesa dan betul-betul muat serta kalis air.

4 Kacamata – Jangan sekali-kali meninggalkan kacamata polaroid di rumah atau dalam kenderaan. Kacamata akan mengurangkan silau sekali gus ia menjadi tingkap anda untuk menjenguk masuk ke dasar dunia ikan.

5 Roti – Hampir kebanyakan ikan berselera dengan roti. Menabur roti akan membantu anda mengenali ikan di sesuatu lubuk.

6 Kertas lakar – Adalah bijak jika anda membuat satu lakaran mengenai lubuk yang diteroka itu bagi menentukan kedudukan beberapa perkara sebelum trip memancing sebenar dilakukan.

Elak Perambut Berpintal

Punca tali utama berpintal dengan perambut kerana umpan dilabuhkan ke dasar terlalu pantas sehingga ia berputar.

Akibatnya, tangsi kerinting dan akhirnya terbelit dengan tali utama. Anda perlu ingat, bentuk umpan ketika jatuh akan berpusing dan perambut turut berpusing.

Cara terbaik mengimbangi pergerakan tali dan perambut supaya tidak bertembung dilabuhkan ialah menggunakan tanduk.

Jatuhkan umpan dengan perlahan melalui kawalan kepantasan tali ketika keluar dari kekili. Jangan terlalu gopoh hendak melabuhkan umpan ke dasar!

Selain itu, jangan melontar umpan dengan melawan arus air. Sebaliknya, turunkan umpan mengikut arus.

Sementara itu, tujuan utama menggunakan perambut panjang ketika memancing di laut ialah untuk menarik minat ikan terhadap umpan.

Perambut panjang membenarkan umpan bergerak secara semula jadi dibuai arus. Tetapi perambut tidak boleh keterlaluan panjang kerana mungkin boleh berbelit pula dengan tali rakan bersebelahan. Perambut panjang hanya sesuai ketika air berarus. Jika tiada arus, gunakan perambut pendek. Selain itu, perambut akan bertindak sebagai menyerap kejutan daya tegangan secara tiba-tiba (monoshock leader) kerana tangsi pada dasarnya mempunyai tahap anjalan yang baik.

Ini kerana ramai pemancing memilih menggunakan tali sulam sebagai tali utama. Tali sulam tiada daya anjalan dan tidak kenyal. Justeru, ia alah pada henjutan secara tiba-tiba.

Memancing ketika air besar berkesan ketika waktu perubahan arus. Ketika itu,ikan amat galak dan bergerak mengikut arus. Ketika arus deras, ikan biasanya berselindung di sebalik objek atau kekal pada satu tempat. Penggunaan gewang, jig dan popper cukup efektif ketika air besar berbanding air mati.

Jika ingin memancing dasar, anda perlu membawa ladung yang berat bagi menampung kelajuan arus. Jika tidak, umpan akan naik ke atas permukaan ditolak arus deras

Kacamata polaroid

Kacamata polaroid mantapkan penglihatan di lubuk


MATA, satu daripada deria paling penting dan sensitif. Bagi kaki pancing, mata memainkan peranan besar untuk menghasilkan aktiviti memancing yang produktif serta menyeronokkan. Justeru, mata perlu dilindungi sepanjang aktiviti itu.

Mata juga perlu diberi sokongan untuk memperoleh penglihatan lebih baik sekali gus mengatasi rintangan yang boleh mengurangkan tahap pandangan.

Untuk kaki pancing, dua alatan tambahan – kacamata polaroid dan teropong, perlu anda miliki. Alat ini boleh dibeli di kebanyakan kedai pancing.

Kacamata polaroid membantu anda melihat dalam kilau atau silau lapisan air kerana cuaca yang cerah mahupun pantulan cahaya matahari.

Dengan memakai kacamata polaroid juga, anda boleh melihat ke dalam air dan melihat tabiat ikan di dasar.

Teropong pula, alat yang boleh membawa pemandangan jauh dan kecil ke depan mata anda.

Justeru, beli dua alatan ini kerana ia sangat penting kepada anda:-

1. Belilah kedua-duanya pada harga yang termampu. Soal kualiti jangan dijadikan halangan atau alasan untuk tidak membelinya. Namun jangan membeli produk yang tiada kualitinya langsung.

2. Dapatkan nasihat rakan atau penjual terlebih dulu sebelum membelinya. Jika boleh, uji di kawasan memancing untuk mengetahui keberkesanannya.

3. Beli kacamata polaroid yang memiliki bingkai kukuh dan jika boleh lensa kalis calar.

4. Anda akan dapati lensa yang pelbagai warna dengan tahap tembus cahaya berbeza. Lensa yang bagus dan sesuai bagi hampir semua keadaan ialah warna tembaga cerah.

5. Ikat kacamata anda pada tali sekali gus memastikannya sentiasa tergantung di leher anda. Adalah mudah untuk kehilangan beberapa pasang kacamata dalam setahun jika anda tidak mengikatnya.

6. Sembur buih pembersih kalis air, gilap dan keringkan kacamata sebelum anda ke lokasi bagi memastikan ia tidak berwap atau melekat air ketika dipakai.

7. Untuk ekspedisi memancing di laut dalam, pastikan kaca mata anda diikat tali anjal supaya ia tidak diterbangkan angin ketika bot memecut.

8. Cuba dapatkan teropong yang ringkas, ringan dan mudah. Jika berat, mungkin anda akan kerap tertinggal teropong itu di rumah atau dalam kereta.

9. Pastikan teropong yang dibeli adalah kalis air. Anda tentu faham bagaimana lasaknya trip memancing.

Contoh Kaca mata Polaroid

Panduan nikmati keselesaan memancing

MEMANCING adalah hobi yang santai. Ia membawa anda kembali kepada alam, kedamaian jiwa dan minda. Justeru, hobi ini perlu dipraktikkan dengan penuh etika untuk mencapai keselesaan dan kedamaian serta memperoleh tumpuan.

Berikut adalah beberapa panduan bagi memastikan anda dalam keadaan selesa, selamat dan memperoleh tangkapan terbaik bagi setiap trip memancing. Yang penting, anda benar-benar seronok memancing!

1.Jangan meminum arak – Ini tindakan bijak untuk mengelakkan pelbagai perkara buruk berlaku di lokasi pancing. Walaupun kononnya minum arak bakal mengundang kegembiraan sebenarnya perbuatan itu bukan saja menyusahkan diri sendiri malah rakan, tekong dan orang tersayang yang anda tinggalkan di rumah.Adalah lebih baik anda meminum lebih banyak jus buah-buahan, air mineral dan minuman ringan lain. Malah bagi sesetengah trip, meminum air karbonat mampu mengatasi sebu angin dalam perut sekali gus muntah.

2.Pada sebelah malam atau ketika berada dalam cuaca sejuk, minum lebih banyak minuman panas seperti kopi, minuman tenaga dan tonik. Ini bagi memastikan anda kekal hangat dalam cuaca sejuk itu.

3.Jangan berkira soal membeli makanan bertenaga dan berkhasiat terutama untuk dibawa ke lokasi pancing. Tenaga diperlukan untuk anda melakukan pancingan dasar, pancingan berumpan atau pancingan layang. Malah memancing adalah aktiviti fizikal yang memerlukan banyak tenaga. Jika anda mula terasa lapar, letih atau lesu, ini mula mengundang fikiran anda untuk balik ke rumah.

4 Jangan sekali-kali lupa membawa topi sekali pun anda tidak mahu memakainya. Sekalipun anda mungkin lasak dan mampu melalui panas terik tetapi topi mungkin diperlukan jika hujan atau sebelah malam. Kepanasan sebenarnya turut melemahkan badan. Jadi dengan bertopi atau memancing di tempat yang terlindung, ini akan menjimatkan tenaga anda!

5.Pastikan anda sentiasa dalam keadaan bersih dan kering. Sebab itu, pemancing yang naik sentiasa membawa tuala tangan atau memakai sarung tangan bagi memastikan tapak tangan bersih. Cuci tangan serta-merta selepas memasang umpan seperti dedak, cacing dan ikan. Ini untuk mengelakkan anda menggunakannya bagi memegang makanan atau minuman.

6.Sentiasa berhati-hati ketika berada di tebing sungai, tali air, atau laut terutama ketika musim hujan. Tebing ketika itu licin dan anda mungkin tergelincir. Ingat, jatuh tergelincir akan menyebabkan pelbagai bentuk bahaya dan kecederaan. Malah tahap paling serius anda mungkin lemas dalam air!

7.Jika ada nyamuk, agas atau serangga lain yang menggigit, anda boleh menangani dengan menyapu permukaan kulit yang terdedah dengan salap (balm) anti-serangga. Anda benar-benar tidak boleh memancing jika asyik melayan nyamuk atau agas!

8.Jika anda berhasrat memancing dengan meranduk air, pastikan anda tahu di mana hendak berehat seketika bila badan gatal. Sebab itu, pastikan anda memakai salap, pakaian bersih dan kering untuk mengelak gatal.

9.Jangan membawa terlalu banyak perkakasan di lokasi pancing sehingga anda umpama dihalau dari rumah. Bawa yang perlu dan berkongsi dengan rakan adalah cara terbaik mengurangkan beban.

10.Jika anda bermalam di lokasi pancing, pastikan anda membawa perkakasan lengkap untuk tidur seperti beg tidur, kelambu, pangkin mudah pasang dan khemah. Jangan memperjudikan badan dengan tidur di atas timbunan rumput, daun atau tikar.

Pancing Udang






Asas pancing udang, ikut kesesuaian batu ladung



Pelbagai jenis dan saiz mata udang ada di pasaran. Anda boleh memilihnya mengikut kesesuaian tempat. Mata kail biasanya ada dua jenis iaitu berduri pandan dan tiada duri pandan.

Jika memancing di sungai, jenis berduri pandan disyorkan. Untuk kolam, ramai pemancing memilih kail tidak berduri. Saiz mata kail asasnya 5 hingga 8 sesuai untuk semua saiz udang galah.

Jika berhajat memancing udang lebih besar, mata lebih besar lagi diperlukan. Perambut untuk udang sungai ialah 8 hingga 12 paun manakala kolam 6 paun.

Biji kekabu boleh diguna untuk memancing ikan lampam. Selain itu, dedak dan isi kelapa sawit juga meluas digunakan.

Kegunaan asas batu ladung ialah menenggelamkan umpan ke dasar. Jelas tiada beza kegunaan bagi jenis batu ladung ini. Bagi memancing di laut dalam, batu ladung jenis mati meluas digunakan kerana mudah ditukar jika arus berubah.

Penggunaan ladung hidup memerlukan masa untuk mengikat semula perambut jika ingin menukar saiznya.

Ladung jenis ini sesuai untuk memancing ikan yang amat sensitif dengan umpan. Ketika menjamah umpan, ikan itu akan terus menelannya jika ia merasakan tiada bebanan terhadap umpan.

Masa terbaik memancing kolam ikan dan udang komersial ialah sebelah pagi, petang dan malam. Waktu cuaca panas terik, ikan menjadi pasif dan tidak memakan umpan. Anda juga perlu rajin memasang telinga mengenai lubuk di sesebuah kolam untuk memastikan hasil pancingan yang memuaskan.

Sementara itu, bezanya kekili mendatar (multiplier) dan menegak (spinnng) ialah kedudukan kekili pada joran. Kekili mendatar berada di atas joran manakala jenis menegak atau terbuka dipasang pada bawah joran.

Tuesday, February 13, 2007

Udang Galah Dan Ikan


Kali pertama memancing menaiki bot sudah dapat mencuba 2 ketogeri pancing iaitu udang galah di sungai dan ikan di laut dalam masa satu hari pada tangal 12/02/2007.Walaupun hasil tangkapan kurang tapi ini ekspidisi yang menyeronokan .

Sunday, February 11, 2007

Pancing Pantai


Air pasang detik terbaik


Kebanyakan ikan di pantai amat peka pada persekitaran dan perubahan pasang surut air. Ikan di kawasan ini lebih aktif apabila menjelang air pasang terutama pasang besar apabila ikan mara rapat ke pantai mencari makanan.


Peluang untuk menjerat ikan lebih terbuka pada waktu malam kerana waktu ini ikan biasanya tidak menyedari kehadiran manusia berhampiran. Jika dirujuk carta pasang surut air, banyak tempat menunjukkan air pasang pada lewat petang dan awal pagi. Jadi, kedua-dua waktu ini masa terbaik untuk memancing di pantai.


Selain merujuk pasang surut air, musim ikan kecil rapat ke pantai seperti bilis juga adalah musim terbaik memancing. Kehadiran bilis ke pantai turut membawa bersama pemburu yang mengikuti gerombolan bilis yang amat digemari kebanyakan ikan di pantai seperti gerung belang, ebek, gelama, haruan tasik mahupun pari.


Pelbagai jenis umpan boleh digunakan ketika memancing di muara. Pilihan umpan biasa dirujuk kepada jenis ikan yang ingin dipancing dan umpan yang biasa ditemui atau digunakan di kawasan itu. Namun umpan lumrah di muara ialah udang hidup adalah paling mujarab, perumpun atau hirisan ikan. Memilih mata kail sama seperti pilihan terhadap umpan. Malah saiz mata kail boleh ditentukan dengan kecil atau besar umpan yang digunakan.


buru kerapu di pantai



Kerapu yang mendiami pantai saiznya kurang daripada 2 kilogram kecuali kawasan itu airnya dalam.

Justeru, mata kail yang sesuai adalah nombor 8 hingga nombor 10. Walaupun kerapu 500 gram boleh menelan mata kail nombor 5/0, tapi disebabkan faktor geografi, anda disaran menggunakan mata kail kecil.

Tali perambut sesuai ialah antara 20 hingga 40 paun mengikut saiz tali utama yang digunakan. Perambut 40 paun dianggap besar untuk mengikat mata nombor 10.

Memancing kerapu di kawasan berbatu tidak memerlukan perambut yang panjang kerana terlalu panjang ia mudah tersangkut pada karang. Paling sesuai sejengkal atau dua jengkal saja dari ladung. Teknik memancing ikan kerapu biasanya di kawasan berbatu.

Tetapi jangan melontar umpan di kawasan berbatu atau membiarkan ia jatuh hingga ke dasar. Akibatnya, kail tersangkut.

Kalau air jernih, labuhkan umpan antara batu (tempat cerah di antara kawasan yang gelap) dan tunggu ikan keluar dari kawasan batu dan menerkam umpan.

Batu ladung pula tertakluk kepada jarak lontaran yang hendak dibuat. Jika umpan dilontar pada jarak dekat, gunakan ladung kecil sekadar untuk menenggelamkan umpan ke dasar.

Kalau berhajat membuat lontaran jauh, batu ladung besar diperlukan bagi mengurangkan rintangan terutama angin.

Bagi penulis, lebih seronok menggunakan pancing tanpa ladung di kawasan tepi batu. Hirisan umpan mati mampu tenggelam ke dasar jika lokasi berkenaan arusnya lemah. Risiko tersangkut pada batu juga kecil jika menggunakan teknik ini.

Umpan hirisan ikan kembung dan sotong terbaik bagi memikat kerapu pantai kerana kerapu tidak memilih umpan. Apa saja umpan yang berada di depannya pasti diterkam. Selain udang hidup, hirisan ikan, anda boleh menggunakan isi ketam atau ketam pasir, siput atau apa-apa isi cengkerang yang ditemui di persisiran pantai berbatu.

Translate To English:-
Fishing Information,fishing tips,fishing tools ,destination fishing vacation,seafood and altogether about fish.Maklumat Memancing,Tip-tip Memancing ,Alat-alat Memancing ,Destinasi Percutian Memancing ,Makanan Laut dan Keseluruhannya Tentang Pancing dan Ikan.

Popular Posts